Saturday, 21 May 2011

Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…(share)


ANTARA REALITI DAN TRADISI
Teringat saya waktu kecil-kecil dulu, selepas sahaja menuai padi, gelangang-gelangang silat dibuka dikampung, kalau tidak pun gelangang boxing, anak-anak muda ramai yang datang belajar. Sebab itulah orang-orang dulu jarang yang tidak pandai bersilat, kalau tidak bersilat pun pandai boxing. Mereka gemar belajar, mungkin kerana tidak ada kerja yang nak dibuat, atau mungkin kerana hiburannya tak banyak seperti sekarang, tapi yang pasti mereka rajin menimba ilmu, lepas seperguruan seperguruan pula, lepas segelangang segelangang pula. Lepas mereka belajar silat jatuh, belajar silat tongkat pula, pendeknya mereka rajin.
Kita tengok dulu jarang berlaku gejala sosial yang pelik-pelik seperti hari ini, kalau ada pun tak sama macam sekarang, yang menjadi ancaman dalam negara, yang mengusarkan hati semua orang. Apa tidaknya, kes bunuh, rogol, zina, subang muhram, bahkan seribu satu macam gejala yang terkadang letih untuk disebut berlaku setiap hari. Orang dulu belajar silat bukan semata-mata silat, mereka diasuh menghormati guru, bukan sahaja guru silat mereka, guru orang lain pun mereka hormat, menghormati ibubapa lebih lagi, mereka ada disiplin dan pantang larang. Boleh jadi budaya inilah yang mereka bawa dalam masyarakat. Mereka tak mudah bergaduh walau pun pandai bersilat, kadang-kadang makin pandai bersilat makin merendah diri, macam resmi padi makin berisi makin tunduk, tidak seperti ayam, bertelur sebiji riuh sekampung. falsafah yang diajar(Selagi air mata tidak mengalir, selagi darah tidak menitis jangan pukul orang sekali-kali). Ini sesuai dengan ajaran Islam kalau diamalkan.
Yang pelik bin ajaibnya kenapa budak-budak hari ini jarang yang berminat kearah itu, tidak seperti orang dahulu. Mereka lebih suka merempit yang sudah pasti mengundang geruh, ada yang suka telan pil kuda sehingga hidup tak keharuan bahkan macam-macam lagi. Syabas dan tahniah kepada  Penggerak Pusaka Bangsa yang berjaya mendidik anak bangsanya sendiri, ilmu dan usaha yang baik itu pasti akan direstui Allah. Istiqamah lah kita semua insya Allah.
Umat Melayu Menjunjung Tinggi
Kita harus sedar bahawa proses menghargai seni pusaka bangsa pada diri seseorang adalah tertanam sejak mereka lahir. Misalnya Anak yg baru lahir sedang menyusu pada ibu biasanya mendengar dodoi, dendangan dan nyanyian belaian ibunya akan tersemat rasa seni itu pada jiwa mereka. Makin besar anak itu makin bertambah pengalaman seni pada diri mereka. Seni muzik, seni suara, seni tari, seni silat akan mempengaruhi anak2 itu.
Dalam hal ini mereka akan merasa senang dan puas hati bilamana mendengar atau melihat apa yang telah di alami oleh mereka semasa kecil dahulu. Mungkin kepada peringkat yang telah berumur akan merasa puas hati dan bersemangat serta gembira bila serunai dan gendang silat di mainkan, lagu makyung di alunkan, lagu dikir barat di nyanyikan dan di hayati oleh generasi tersebut. Pepatah ada menyebut ” tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat bermain”. Anak kita masih dapat dan sempat mengalami pengalaman ini, tetapi cucu-cucu kita mungkin proses penerimaan nya sudah mula berkurangan. Anak yang berkurangan pengalaman oleh kerana tiada bersambungnya seni tersebut tidak dapat menghayati rasa seni lagi sebagaimana ayah dan datuk mereka dahulu.
Dalam masa 20 tahun saja jika di perhatikan bahawa anak muda yang lahir menjadi sudah pun berumur 20 tahun. Oleh kerana kekurangan pendedahan kesenian tradisi kita, maka minat mereka sudah pudar. kepada mereka bunyi gong gendang, serunai rebab adalah sebagai bunyi bising yg menganggu mereka sahaja, sedangkan bunyi alat2 tersebut bagi orang2 tua mereka adalah satu kemegahan dan timbul rasa puas hati.
Penurunan  permainan tradisi amat ketara pada mereka sudah tiada lagi. Seni Silat Makyung, Wayang kulit, dan lain-lain yang tinggi nilai seninya sudah tidak dapat di hayati lagi. Hal-hal seperti ini sekali lagi tidak dapat di persalahkan kepada mereka. Apa yang penting sekarang ialah kita yang masih ada ini hendaklah menjadi kesinambungan kepada generasi terdahulu yang telah pergi meninggalkan kita supaya pusaka tradisi kita tetap terjaga , terpelihara dan di kembangkan kepada generasi muda.
Sehebat dan Segagah silat yang pernah menyanjung nama bangsa Melayu pada kurun terdahulu, adakah masih kuat untuk melawan arus abad kini. Bangsa Melayulah yang harus mempertahankannya, sebagaimana silat pernah mempertahankan bangsa melayu dahulu. Takkan hilang Melayu di dunia…Melayu akan hilang jika identiti Melayu ini hilang…

Dipetik dari : khalifahgayong 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Bird Gadget